Assalamualaikum...
Pertama sekali, marilah kita sama-sama beristighfar dan
mengucap syukur di atas nikmat yang Allah berikan kepada kita berupa kemanisan
iman dan islam. Dengan dua nikmat
ini, Allah memberikan kita kebersihan hati dalam menilai segala perkara dan menenangkan
kita terhadap musibah yang menimpa.
Sebagai permulaan, mari kita melihat dan merenung ,
Apakah
yang dimaksudkan dengan istikharah.
- Istikharah merupakan
salah satu cara yang Allah berikan kepada kita, sebagai salah satu medium kita
berserah , tunduk kepadaNYA.
Ianya hanyalah medium
perantaraan antara kita dengan Allah, sedangkan natijah yang terhasil dari
istikharah itu sendiri adalah pergantungan diri kita terhadap Allah.
Isi terpenting pada istikharah adalah kepercayaan, keyakinan
dan kebergantungan kita kepada Allah,itulah yang dimahukan dari istikharah.
Bukanlah istikharah
itu kita bergantung pada ruku’ dan sujud yang dilakukan , tetapi adalah
tunduknya HATI pada segala ketentuan yang ALLAH telah aturkan.
- Selain dari itu, istikharah tidak memperlihatkan masa depan
kita, ianya hanyalah medium antara kita dan Allah, sebagai tanda kita
betul-betul mengharapkan petunjukNYA dalam setiap perkara yang dilakukan.
Ada yang memahami, bahawa dengan istikharah , maka jawapan
paling tepat adalah melalui mimpi. Tidak sekali-kali.
Istikharah merupakan
penyerahan penuh diri seorang hamba terhadap segala ketentuan Tuannya.
Dan istikharah dilakukan setelah usaha secara optimum
terhadap perkara yang ingin kita lakukan.
:- Sebagai contoh dalam bab mencari jodoh, seseorang gadis
didatangi seorang pemuda yang entah dari mana datangnya berjumpa dengan
keluarganya, menyatakan hasrat di hati ingin memperisterikan gadis tersebut.
Maka adalah menjadi tugas warisnya dan dirinya menyelidiki siapakah pemuda tersebut.
Apakah benar baik agamanya , kedudukannya seperti yang diberitakan.
Maka perlu bagi warisnya atau diupah seseorang untuk pergi
ke kawasan perumahan pemuda tersebut, bertanyakan jiran-jirannya, tentang
akhlaknya, agamanya, pekerjaannya, sikapnya. Setelah selesai semua
penyelidikan, maka perkara seterusnya, terserahlah pada gadis tersebut.
Di sinilah peri pentingnya istikharah, dalam menentukan
bahawa keputusan yang diambil tidak berdasarkan kegopohan bahkan dari
ketenangan hati.
:- Contoh kedua , apabila sedang dalam pertimbangan mencari
sebuah rumah. Maka setelah segala usaha dibuat, diselidiki dan dibuat
perbincangan, maka solat istikharah dilakukan, agar segala keputusan yang hadir
benar-benar dari ketenangan hati.
Perbincangan , penelitian yang hadir serta nasihat-nasihat
yang diterima hasil dari perbincangan adalah satu satu cara seseorang itu
memohon istikhrah dari Allah.
Penyerahan kita pada
Allah dalam menentukan hasil yang akan kita perolehi adalah setelah kita
berusaha secara optimum sebelum dan selepas solat sunat istikharah.
Isi Terpenting Istikharah
- Mengapa dalam pelbagai hal, perlu kita istikharah?
- Apakah tidak boleh terus sahaja kita melakukan hal tersebut?
Kita tidak menafikan bahawasanya kita mempunyai akal yang
diberikan dengan penuh kesempurnaan, tetapi kesempurnaan akal dalam berfikir
punyai hijab yang kita tidak boleh menyingkapnya, itulah perkara akan datang.
Keterbatasan akal merupakan salah satu kekurangan yang akal
punyai, dan kekurangan ini perlu ditampung dengan sesuatu, agar kelak kemudian,
ianya menjadi suatu kesempurnaan.
Inilah yang dimahukan Tuhan Yang Mencipta, Allah, yang Maha
Bijaksana, Dia memberikan manusia sesuatu tetapi tidak memberikannya sepenuhnya,
agar manusia kembali kepadanya.
Oleh itu, ingatkan kamu kepadaKU (dengan mematuhi hukum dan
undang-undangKU) supaya aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu
kepadaKU dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKU) (152)
Wahai sekalian orang-orang yang beriman ! Mintalah
pertolongan dengan jalan sabar dan dengan sembahyang kerana sesungguhnya Allah
menyertai (menolong) orang-orang yang bersabar (153) (Al-baqarah)
Bila Mahu Dilakukan?
Imam Bukhari;
Mahfum Hadis: Dari Jabir ra., ia berkata: “Nabi pernah
mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan
sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu,
maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:
“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu
dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian
dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa
sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak
mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah
kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan
agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini
dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku,
serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini
membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan
penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia
dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian
jadikanlah daku meredhainya.”
Mengapa Solat?
- Kerana solat itu penghubung antara hamba dan Tuannya.
- Di dalam solat itulah terdapat saat Allah paling dekat
dengan hambaNYA, itulah sujud.
- Dengan solat, seseorang boleh mengadu kepada Tuhannya
seperti seorang anak mengadu kepada ibunya.
* Kasih sayang Tuhan, melebihi kasih sayang seorang ibu.
Dengan solat juga, ianya peluang dan saat mengingati Tuhan
paling maksimum.
Setiap tindakan , ruku’ , i’tidal, sujud , berdiri ,
tahiyyat, semuanya memuji-muji Allah, penguasa sekelian Alam.
Maka benarlah, solat itu pengubat hati yang bergelora, hati
yang gersang dengan kasih sayang, hati yang memerlukan bimbingan, maka
solatlah, ianya punca kedamaian dan ketenangan.
P/s: Sesungguhnya solat adalah medium terbaik untuk
menghubungkan manusia dengan penciptanya, solat Istikharah adalah sunat, solat 5
waktu adalah wajib…sebelum nak buat solat sunat, jagalah solat wajib dulu yer
;)
Assalamualaikum wbt.. mohon share.. :)
ReplyDelete